Saturday, 30 April 2016

Kasih Suci Mereka


Aku merupakan anak kepada seorang bapa yang sangat tabah. Aku merupakan anak kepada seorang bapa yang sangat tegas. Aku merupakan anak kepada seorang bapa yang bekerja sebagai buruh binaan. Aku antara salah seorang anak kepada seorang bapa yang hanya memiliki empat orang cahaya mata. Ini bermakna aku hanya mempunyai empat adik-beradik iaitu abang, adik lelaki yang berumur tujuh tahun dan adik perempuanku yang paling comel dan baru sahaja berumur empat tahun. Abangku bernama Fakhrul Iftah bin Muharam. Adik lelakiku bernama Muhammad Ashraf Akmal bin Muharam manakala adik perempuanku itu pula bernama Siti Munirah binti Abdullah. Munirah berbintikan Abdullah kerana dia bukanlah adik kandungku.
Aku menemui Munirah di kawasan pelupusan sampah beberapa tahun lalu. Ketika itu keadaannya masih berdarah dengan lilitan tali pusat di lehernya. Lebih mengharukan aku tatkala melihat banyak semut api menggigit-gigit kulitnya. Sewaktu aku membawa pulang Munirah, Ashraflah yang paling gembira kerana sedari dulu lagi dia mahukan seorang adik. Namun hajatnya tidak kesampaian kerana ibu secara tiba-tiba sahaja menghilangkan diri tanpa berita. Sedari kecil lagi, aku memanggil bapaku dengan panggilan ayah. Bukan setakat aku sahaja, malah abang dan adik-adikku juga begitu.
Kami hidup bersederhana tanpa ibu. Rumah kami pula tidaklah sebesar rumah semua orang. Makanan yang kami kunyah juga tidak sesedap makanan hidangan semua orang. Pakaian kami usahlah ambil tahu. Kami mengutip semua pakaian kami di tempat pembuangan sampah. Kebetulan pula kawasan sampah itu betul-betul berhadapan dengan rumah kami. Aku masih tidak mengetahui ke manakah ibu berada. Setiap hari aku termenung ke luar jendela dengan harapan agar ibu kembali ke rumah ini. Apabila aku bertanya kepada abang, dia sekadar membisu. Aku takut untuk bertanyakan perihal ibu kepada ayah. Pernah sekali Ashraf bertanya dimanakah ibu. Sebaik sahaja perkataan ‘ibu’ terpacul di bibir Ashraf, lantas ayah menampar pipinya sehingga Ashraf tersungkur ke tanah.
″Jangan sesekali kau sebut nama ibu kau depan ayah. Ayah tak suka!″ gertaknya dan sampai sekarang teriakan ayah seolah-olah masih terngiang-ngiang dalam gegendang telingaku.
Pipi Ashraf ketika itu mengalami lebam dan giginya hampir patah. Dia menangis sekuat hati di hadapan ayah, barangkali meminta simpati. Namun, ayah tidak mengendahkan tangisan Ashraf malah ayah terus keluar menjalani tanggungjawab sebagai buruh binaan. Ayah mencapai topi keselamatan berwarna kuning dan kasut but lalu melangkah pergi tanpa sedikitpun menoleh ke arah Ashraf tersedu-sedan didakapi kesedihan. Tiada sesiapa hendak memujuk Ashraf agar meredakan ombak sedihnya melainkan aku. Harapkan abang aku tidak mahu menyusahkan dia kerana dia pun sibuk bekerja. Abang merupakan anak sulung dari keluarga serba daif ini. Bagiku abang merupakan abang yang terbaik di dunia ini. Dia sanggup berhenti sekolah semata-mata kerana aku padahal ketika itu adalah tahun buat dia menghadapi peperiksaan besar kali ketiga dalam seumur hidupnya. Jika dihitung ke tahun ini, abang barangkali akan memasuki universiti atau sudahpun bergraduasi manakala aku adalah pelajar tingkatan 5.
Abang pernah mengadu kepadaku bahawa dia ternampak ayah sedang mengira dan membahagikan wang di halaman belakang rumah. Katanya lagi, ayah sekadar mendapat empat keping duit not hijau kebiruan. Ayah membahagikan duit itu kepada empat. Sekeping untuk duit poket aku dan abang dalam sebulan. Sekeping lagi untuk membeli lampin dan susu tepung untuk Munirah. Sekeping untuk membayar yuran persekolahan kami yang sudah berbulan-bulan tidak dibayar manakala sekeping lagi untuk barang dapur selama sebulan. Bagiku duit lima puluh ringgit tidak mencukupi buat aku dan abang untuk membeli makanan di sekolah selama sebulan. Jika dibahagikan kepada 31 hari dan dibahagi lagi kepada dua, kami sekadar membawa duit poket sekurang-kurangnya lapan puluh sen setiap hari. Di kantin, makanan tidak dijual dengan harga lapan puluh sen melainkan snek ringan. Jadi, setiap hari juga kami memakan makanan yang tidak berkhasiat itu. Tambahan lagi aku mendapat empat bungkus snek dalam duit lapan puluh sen itu. Sekurang-kurangnya dapat mengalas perutku sebelum belajar.
Kadang-kadang abang akan memberikan duit poketnya kepadaku dengan alasan bahawa dia sudah kenyang. Aku tidak dapat menolak pemberiannya kerana abang bertegas supaya aku perlu memakan makanan yang berkhasiat. Meskipun abang berkata dia sudah kenyang, tetapi bagiku dia sedang berbohong. Aku dapat mengagak sebenarnya dia lebih lapar daripadaku melalui matanya yang berkaca. Namun, aku terpaksa akur dengan pemberian abang kerana bimbang dia memarahiku. Pernah sekali abang pengsan ketika perhimpunan pagi berlangsung. Selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan abang mengalami gastrik yang sangat serius. Dia mahu aku merahsiakan masalah kesihatannya kepada ayah tetapi segala-galanya sudah terlambat. Cikgu Fatimah telah memberitahu ayah terlebih dahulu selepas doktor membuat pemeriksaan. Ayah tergesa-gesa datang ke hospital dengan peluh yang membasahi baju koyaknya. Ayah menghempas kuat pintu wad abang dengan mata berapi-api. Aku dan abang terpana seketika kerana terperanjat dengan kehadiran ayah di hospital itu. Itulah kali pertama aku lihat garis-garis marah pada wajah tua ayah. Umpama dirasuk hantu, ayah menanggalkan tali pinggangnya lalu melibas ke badan abang berulang-ulang kali. Aku memeluk lengan ayah dan menangis kerana tidak tahu hendak menenangkan ayah yang makin berang. Cikgu Fatimah sekadar menolak bahu ayah dan abang.
″Aku dah beri duit kepada kau. Kenapa kau tak nak beli makanan ha?! Tak cukupkah duit yang aku beri tu!″
″Ampunkan along, ayah! Ampunkan along!″ abang merintih kuat.
Namun, ayah masih menghayunkan tali pinggang buruknya itu. Oleh kerana tidak tahan melihat abang merintih kesakitan, aku terus melompat ke katil pesakit lalu memeluk abang. Dan kali ini aku pula yang disebat oleh ayah. Belakangku terasa perit seolah-olah dicucur dengan besi panas berulang-ulang kali.
″Aku berikan duit untuk kau berdua makan. Bukannya simpan untuk biakkan duit!!″ ayah masih lagi membebel dan tidak lekang melibas tali pinggangnya ke belakang badanku. Dalam beberapa minit barulah ayah berhenti.
Ayah termengah-mengah lalu keluar dari bilik wad sementara abang memelukku dengan linangan air mata. Sukar untukku bernafas kerana dakapan abang terlalu erat. Namun, aku sedar membiarkan abang memelukku kerana barangkali dia berasa serba salah.
″Apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa ayah kamu berang sedangkan kamu sedang sakit? Cuba terangkan kepada cikgu.″ soal Cikgu Fatimah dengan roman muka yang penuh dengan tanda tanya.
Aku dan abang sekadar membisu seribu bahasa. Terasa malu hendak menceritakan masalah kami.
″Kamu berdua tak ada duit untuk membeli makanan masa rehatkah?″ duga Cikgu Fatimah. Aku mengangguk.
″Kalau macam tu, biar cikgu berikan sedikit wang kepada kamu setiap hari. Pastikan kamu berdua makan makanan yang seimbang. Jangan ikat perut hanya kerana duit. Lain kali minta pada cikgu ya.” Cikgu Fatimah bercadang dengan senyuman manis.
Cadangan cikgu membuatkan jiwaku dibungkus rasa segan. Beberapa kali abang menolak cadangan Cikgu Fatimah tetapi Cikgu Fatimah masih dengan pendiriannya. Akhirnya, kami berdua terpaksa bersetuju. Ini pun demi ayah juga. Setiap kali waktu rehat, aku terpaksa menebalkan muka meminta duit kepada Cikgu Fatimah. Cikgu Fatimah akan memberikan empat keping wang kertas berwarna biru dan memintaku untuk memberikan separuh daripadanya kepada abang. Mukaku bagaikan disimbahi cat merah tatkala ramai pelajar melihatku yang sering menadah tangan ke arah Cikgu Fatimah.
″Tak malu. Dahlah baju compang-camping papa kedana. Lepas tu minta sedekah pula kat Cikgu Fatimah. Tak malu betul.″
Aku dapat mendengar dengan jelas suara-suara jahat sedang mengumpat tentangku. Aku sekadar memekakkan telinga dan cepat-cepat pergi ke kelas tingkatan 5 Sains 1 untuk bertemu dengan abang. Kusangka, hatiku sudah tabah mengharungi tohmahan manusia disekelilingku, tetapi ternyata tidak. Sampai sahaja ke kelas abang, aku menangis teresak-esak.
″Kenapa menangis ni, angah?″ soal abang.
″Budak tingkatan empat kutuk angah tadi.″ terangku dalam esakan tangis.
Sebaik sahaja aku memberitahu perihal sebenar, abang menjadi marah lalu mencari budak yang ku katakan itu. Tidak ku sangka abang membelasah budak itu sehingga mereka berdarah. Oleh kerana tindakan abang melanggar peraturan sekolah, pengetua membuat keputusan untuk memberhentikan persekolahan abang.
″Tuan tak sepatutnya membuat keputusan begitu. Berilah peluang kepada Fakhrul. Dia pelajar cemerlang dan ada harapan untuk mengharumkan nama sekolah kita.″ Cikgu Fatimah memujuk.
Pujukan cikgu tidak sedikitpun mematahkan pendirian pengetua. Cikgu Fatimah terkilan dan dia tidak menyedari air matanya telahpun membasahi pipi gebunya. Berbeza pula dengan abang, dia lebih gembira. Sepatutnya, abang yang perlu menangisi keputusan itu.
″Along tak sepatutnya gembira. Pelajarankan masa depan along? Kalau pengetua buang along dari sekolah, macam mana dengan cita-cita along? Takkan along tak nak jadi seorang doktor?″ soalku sengaja bermain psikologi dengan abang.
″Gembira. Along memang patut gembira sebab ayah tak payah bayar yuran persekolahan along lagi. Biar ayah bayar yuran angah jer.″ ujar abang. Senyumannya terukir pada bibir keringnya. Serta-merta lesung pipit mula terbit di pipi kanannya. Aku kehilangan kata-kata. Hanya mampu menangis dan memeluk abang dengan erat.
Sejak diberhentikan dari persekolahan, abang bekerja sambilan sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran terkenal di daerahku. Jarak antara rumahku dengan restoran itu tidaklah jauh, antara 100 hingga 200 meter. Jadi, abang menggunakan nikmat kakinya dengan berjalan ke sana. Upah abang tidak sebanyak mana, hanya sehari dua puluh ringgit. Setiap kali mendapat upah, abang akan membeli baju untuk Munirah kerana adik comelku itu hanya memakai baju singletku dari umur setahun hinggalah sekarang. Baki duitnya akan disimpan dalam tabung buluhnya. Namun, sangat berbeza dengan ayah. Tempat pekerjaan ayah sangat jauh. Disebabkan terlalu jauh, ayah terpaksa bangun dalam pukul empat pagi padahal waktu ayah habis kerja dalam pukul dua belas tengah malam. Sebenarnya, ayah membuat dua kerja. Pada sebelah pagi hingga petang, ayah akan bekerja sebagai buruh binaan di kawasan bangunan yang bakal menjadi tapak perniagaan. Sebelah malamnya pula, ayah menjadi pembantu dalam tempat basuh kereta. Aku sendiri tertanya-tanya, adakah ayah tidak berasa penat bekerja dalam dua pekerjaan. Oleh itu, aku sengaja bangun dalam pukul tiga pagi untuk membuat sarapan buat ayah. Sarapan kami tidak semewah semua orang. Aku hanya menggoreng ikan kering dan menanak nasi diiringi kopi. Aku terpaksa membuat air kopi yang cair dan kurang manis bagi menjimatkan serbuk kopi dan gula pasir memandangkan harga barangan runcit semakin tinggi setiap hari. Mujurlah kedai runcit 1Malaysia tidak jauh dari rumah kami. Dapatlah mengurangkan beban kewangan kami sedikit.
″Awalnya angah bangun.″ bahuku terhinjut sedikit kerana terkejut mendengar sapaan ayah dari belakang. Ayah menggosok perlahan matanya dengan jari. Lingkaran matanya yang sembab dan gelap jelas menggambarkan bahawa ayah tidak cukup tidur, atau mungkin menangisi pemergian ibu. Mungkin.
″Angah buatkan ayah sarapan. Bagi ayah bertenaga sikit untuk bekerja. Barulah bos ayah sayang ayah.″ selorohku sambil mendepakan tangan. Namun gurauanku tidak memecahkan tawa ayah. Ayah cuma mendiamkan diri dan matanya menyoroti ke mataku. Seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
″Alangkah bagusnya jika ibu kau berada di sini lagi.″ secara tiba-tiba ayah mengungkapkan kata-kata.
Ayah tertunduk lalu menuju ke tandas setelah mencapai tualanya. Aku terkesima. Inilah kali pertama aku mendengar ayah menyebut perihal ibu. Ingin sahaja aku bertanya kepada ayah apakah sebenarnya yang terjadi antara ayah dengan ibu. Kenapa ibu meninggalkan kami anak-beranak? Bilakah ibu akan pulang kembali? Di manakah ibu sekarang? Adakah ibu meninggalkan kami kerana melahirkan anak yang tempang seperti Ashraf?
Usai azan Subuh berkumandang, aku mengejutkan abang dan Ashraf untuk solat berjemaah bersama-sama. Selalunya abanglah yang akan menjadi imam. Ayah tidak sempat bersolat bersama-sama, tetapi dia sering membawa sejadah buruk dalam beg plastiknya. Setelah menyembahkan diri kepada ALLAH, abang akan menemaniku ke sekolah. Kami berjalan sejauh dua kilometer dan kadang-kadang aku akan tiba di pintu pagar sekolah seminit sebelum waktu perhimpunan.
″Belajar rajin-rajin. Angahlah harapan along.″ pesan abang sebelum kukucup tangannya dan berlalu pergi.
Sebenarnya, aku sering ditimpa rasa malu ketika bersekolah kerana penampilanku yang sangat selekeh. Baju kurung dan tudungku lusuh kerana baju itulah kusarung sejak darjah enam lagi. Kain sekolah biruku pula sangat banyak kesan jahitan dan tampalan kain perca. Kasutku usah kukatakan. Kasutku seperti mulut harimau yang jelas menampakkan stoking berlubangku. Beg sekolahku pula kukutip ditimbunan sampah dan bau busuk sampah masih lagi terlekat pada beg itu. Jika penampilanku sudah seburuk ini, tidak mustahil aku sering dihina dan dicaci. Aku masih ingat lagi sewaktu cikgu mengadakan eksperimen dalam subjek kimia. Salah seorang daripada kawan sekelasku secara tidak sengaja membuka botol ammonia. Habis seluruh ruang makmal kimia berbau busuk yang bisa mengalahkan bau bangkai. Kami semua termasuk cikgu keluar dari makmal itu.
″Yark! Busuknya bau ammonia tu!″ tegur Mei Mei.
″Tapi aku rasa lagi busuk bau badan si Aini tu.″ ujar Fadilah tanpa berlapik dan tanpa berlindung.
Aku berasa amat berkecil hati terhadap kata-katanya. Bukan setakat Fadilah saja, malah semua pelajar di sekolah ini. Pelbagai panggilan yang mereka berikan kepadaku. Perempuan sihir. Kerbau. Lembu. Tahi tikus. Bermacam-macam lagi. Mereka akan menutup hidung apabila aku berjalan di hadapan mereka.
″Woi, busuklah kau ni. Duduk kat sampah ke? Anak dara apalah kau ni.″ sindir Halim, lelaki yang sangat kubenci dan merupakan anak orang berada. Disebabkan mulut bangkai dialah, aku sering menjadi bahan ketawa. Semenjak kami dari tingkatan satu lagi, dia mula mengusik kasar terhadapku. Kalau dulu ada abang, aku boleh mengadu kepadanya dan kebetulan Halim takut akan abang. Sejak abang tiada, Halim mula menunjukkan belang jahatnya. Kadang kala semangatku menjunam ke bawah. Kadang kala aku ingin berhenti sekolah seperti abang. Namun aku memegang kata-kata Cikgu Fatimah, ″Cacian orang sebenarnya modal untuk kita teruskan berusaha dalam mengecapi kejayaan.″ Selama ini, Cikgu Fatimahlah sumber inspirasiku dalam terus berjuang dalam SPM. Dan aku sudah menganggap dia seperti ibu sendiri.
Habis sahaja waktu sekolah, aku terus berjalan ke rumah. Tidak seperti pelajar-pelajar lain yang pulang lewat kerana ada tuisyen. Selalunya, abang akan tiba ke rumah dulu sebelumku. Usai menyalin pakaian, kami empat beradik menjamu selera bersama-sama. Lauk kami hanyalah ikan kering, nasi, kicap dan ulam-ulaman. Ulaman itu bukanlah seperti ulam raja dan ulam pegaga, tetapi ‘ulaman’ yang kupetik dibelakang rumah tanpa mengetahui apa jenis pokok itu. Kadang-kadang sahaja abang membeli makanan kerana baginya, dia mahu menyimpan wang untuk membetulkan rumah kami. Usai solat Zuhur, abang akan menemaniku membuat kerja sekolah. Abang sering mengajarku mata pelajaran yang amat senang baginya terutama sekali Fizik. Jika aku tidak mengalami masalah ketika membuat kerja sekolah, abang akan beralih pula ke arah Ashraf. Abang mengajar Ashraf huruf dan matematik. Apabila Munirah merengek, abang melarangku untuk membancuh susu buatnya. Sebaliknya, abang sendiri membancuh susu dan membelai Munirah seolah-olah Munirah adik kandung kami sendiri. Entah mengapa aku berasa bangga memiliki abang yang penyayang sepertinya. Dengan tangan mendukung Munirah, abang masih lagi mengajarku. Dia memaksaku untuk berusaha lebih kerap terhadap subjek Bahasa Inggeris. Memang tidak disangkal lagi subjek itu adalah subjek yang paling kubenci. Apabila aku mengutarakan kebencianku, abang terus-menerus menghamburkan kata-kata marahnya.
″Bodoh! Bahasa Inggerislah penentuan kejayaan kau. Kalau kau tak suka, lebih baik kau jangan  berangan-angan untuk masuk universiti.″ abang memberi amaran sambil mendukung Munirah.
Aku terkedu mendengar kata-kata abang dan hampir dua minggu aku menimbang arahannya. Ternyata kata-kata abang ada benarnya. Jadi, setiap minggu aku meminjam buku berkenaan Bahasa Inggeris di perpustakaan. Setiap kali aku membaca ayat, setiap kali juga aku tidak lekang membuka kamus dwibahasa. Aku mengaku bahawa aku amat lemah dalam menghafal ayat Bahasa Inggeris, apatah lagi menggunakan grammar.
″Kau kena berusaha lagi. Jangan patah semangat kerana ayah dan abang mengharapkan kau Aini.″ hatiku seperti berbisik sesuatu yang memotivasikan diriku. Dengan semangat demi ayah, aku teruskan usaha. Alhamdulillah hasilnya sangat memberangsangkan apabila peperiksaan percubaanku mendapat B- dalam subjek itu. Meskipun tidak A+, tetapi aku amat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan yang diperolehi. Lebih mengujakan apabila aku mendapat anugerah pelajar terbaik. Aku sangat gembira dan berharap agar ayah hadir dalam majlis itu. Namun harapanku hanyalah sia-sia. Sehingga majlis tamat pun, ayah tidak hadir juga. Perasaan kecewa membungkus jiwaku ketika itu dan serta-merta jantungku seperti hampir berhenti berdetak apabila Cikgu Fatimah tergesa-gesa mendapatkanku seraya berkata, ″Ayah kamu terlantar di hospital!″ Tiada madah untukku luahkan melainkan berlari, berlari dan terus berlari sambil memeluk piala yang disaluti emas. Air mataku sudah mulai bercucuran dan melanggar semua orang yang menghalang laluanku. Akalku hanyalah tertumpu kepada ayah. Belum selangkah aku keluar dari pintu pagar, Cikgu Fatimah memegang tanganku dan secara automatik larianku terhenti.
″Biar cikgu tumpangkan kamu.″ ujar Cikgu Fatimah lalu mengheretku ke kereta Vivanya tanpa menunggu keputusanku. Sampai sahaja di hospital, mataku melilau-lilau mencari kelibat abang. Cikgu Fatimah tertinggal di belakang dan makin  hilang dalam kerumunan manusia. Aku berasa bersalah kepadanya, tetapi aku perlu cepat. Dari jauh aku sudah melihat Ashraf menangis teresak-esak manakala Munirah terlena dalam dakapan abang. Abang pula sekadar membuat wajah biasa walaupun aku tahu di hatinya berombak risau.
″Apa dah terjadi dengan ayah?″ soalku kepada abang.
Abang menghela nafas panjang dan memberi isyarat supaya aku duduk di kerusi. Ashraf terus menekup mukanya ke ribaku dan dapat kurasakan air matanya telah membasahi baju sekolahku sekarang. Aku masih lagi tertanya-tanya, kenapa ayah masuk hospital? Apakah yang telah berlaku? Ya ALLAH, selamatkan ayahku.
″Ayah terjatuh ketika memanjat besi konkrit. Kaki ayah patah, tapi…″ abang melepaskan batuknya lalu menyambung bicara, ″Kos perubatan terlalu tinggi. Abang tak ada duit untuk membayar kos itu.″
″Biar cikgu saja yang bayarkan.″ sekali lagi Cikgu Fatimah mengutarakan cadangan yang membuatkan aku berasa segan buat kali kedua. Segan sungguh meminta pertolongan dari orang lain. Cikgu Fatimah telah banyak menolongku dari segi kewangan. Andai ditakdirkan aku sudah berjaya, aku berjanji tidak akan melupakannya.
Sebulan ayah terlantar di hospital dan sebulan juga abang menggantikan ayah dengan bekerja di tempat pembinaan sementara waktu. Aku pula sudah kurang pergi ke sekolah kerana susah hati meninggalkan Ashraf dan Munirah di rumah papan beratap zink karat ini. Aku bimbang dengan keselamatan adik-adikku, memandangkan mereka masih lagi dalam takuk yang belum matang pemikirannya. Lagipun kawasan rumahku terlalu banyak anjing liar dan tikus berlegar-legar di kawasan perlupusan sampah itu. Sangat berbahaya jika aku meninggalkan mereka berdua di rumah.
Dalam pukul empat petang, abang akan pulang dari tapak pembinaan. Baju lusuhnya berdebu manakala mukanya dipenuhi pepasir dan serbuk simen. Roman wajahnya jelas mempamerkan keletihan yang melampau. Melihat keadaan abang sebegitu, aku tidak dapat membayangkan keadaan ayah yang menghadapi pekerjaan itu setiap hari. Itu belum lagi ditambah dengan pekerjaan malam ayah. Di kala ini, barulah aku menyedari betapa cekalnya ayah mencari sesuap nasi buat kami anak-beranak. Setelah abang membersihkan diri, kami selalunya akan pergi ke hospital dengan membawa bekal nasi dan ikan kering buat ayah. Perjalanan kami terganggu kerana abang banyak berhenti dan mengurut lututnya. Barangkali dia berasa sangat penat dan tidak sempat untuk melepaskan lelahnya tadi. Sudah berkali-kali juga aku menyuruhnya agar berehat selama sepuluh minit, tetapi kerana rengekan Munirah yang semakin menjadi-jadi, abang menggagahi jua. Katanya, dia tidak mahu Munirah rimas di tengah-tengah mentari panas.
Sampai sahaja di wad ayah, aku dan abang tersentak dengan kehadiran seseorang. Ibu! Ibu cantik. Memakai baju berkilau-kilauan dan lehernya dihiasi dengan rantai emas bermutu tinggi. Ibu memandang kami berempat lalu terus berjalan merapati kami. Serta-merta Ashraf menyorok ke belakangku manakala abang tiba-tiba sahaja berwajah pucat.
″Jangan! Along, angah! Bawa Ashraf keluar!″ arah ayah yang masih terbaring di atas katil.
Pucat wajah abang tatkala melihat ibu lalu terus merangkul tangan Ashraf dan berlari keluar dari wad ayah, meninggalkan aku. Ibu menghamburkan kata-kata kesat dan merenung tajam ke arahku. Waktu itu, aku seperti mahu memeluk ibu kerana aku terlalu rindukan ibu, tetapi… PANGGG!!! Aku terjatuh bertelangkup sambil mengusap-usap pipi. Pedihnya menyelirat sehingga ke otak.
″Kau ni memang menyusahkan aku! Kalaulah aku dapat anak perempuan sial macam kau, dah lama aku bunuh kau lepas aku lahirkan kau lagi, tahu! Lepas kau lahir, banyak benda malang yang terjadi! Dengan adik kau yang tempang, dan aku yang bercerai dengan ayah kau pun disebabkan kau!″ ibu menengking sambil menanggalkan tudungku. Ibu menarik rambutku sehingga aku menjerit kesakitan. Ya ALLAH, apakah salahku terhadap ibu?
″Sudahlah, Fauziah! Kau jangan salahkan anak aku.″ ayah pula menengking.
″Kau dengan budak bawa malang ni sama saja. Kalau diikutkan hati, aku tak ingin nak berkahwin dengan orang miskin macam kau. Entah kenapalah aku ni terlalu bodoh kerana sanggup menjadi isteri engkau!″
″Fauziah!″
″Aku bersyukur sangat bila kau menceraikan aku dengan talak tiga. Tak perlulah aku kembali ke pangkuan kau lagi. Dan lihat ni.″ ibu menayangkan gelang emasnya kepada ayah. ″Inilah hasilnya lepas kau ceraikan aku. Aku menjadi kaya! Suami aku sekarang lebih kaya daripada kau, miskin hina!″
″Fauziah!!″
PANGGG! Sekali lagi bunyi tamparan bergema di bilik wad ayah. Ibu terdiam sambil mengusap pipinya seperti aku mengusap pipiku. Ibu menoleh ke arahku dan terus berlalu pergi. Entah kenapa perasaan rinduku semakin terhapus dengan simbahan kecewa. Kecewa dengan sikap angkuh ibu yang terlalu mengagung-agungkan harta duniawi daripada kasih sayang anaknya.
Tanpa kusedari, empangan kelopak mataku digenangi air mata. Perlahan-lahan ayah mendekatiku dengan memakai topang ketiak. Ayah memeluk bahuku sebelum mendamparkan kepalaku ke dadanya. Jari jemarinya membelai lembut ke mahkotaku dan dapat kurasakan derasan nafasnya. Di saat itulah kurasakan kasih sayang ayah menguasai perasaanku. Lantas kupeluk badannya erat-erat. Kemesraan ayah dan anak disaksikan oleh abang, Ashraf dan Munirah yang kembali semula ke bilik wad ayah setelah melihat kelibat ibu sudah tiada.
″Ayah. Angah sayang ayah, angah sayang along, angah sayang Ashraf, angah sayang Munirah, angah sayang ibu. Tapi kenapa ibu benci angah?″ soalku dalam nada sedu.
″Disebabkan ibu benci angahlah, ayah bercerai dengan ibu.″ terang ayah.
Dalam masa sejam ayah menceritakan segala-galanya kepadaku. Abang cuma membatukan diri kerana dia memang tidak mahu peristiwa lama itu menghantui fikirannya kembali. Ashraf sudahpun terlena di atas katil ayah manakala Munirah masih lagi dibuai mimpi dalam dakapan abang. Setelah ayah menerangkan satu persatu peristiwa lepas, aku terkejut bagaikan tidak percaya dengan peristiwa hitam itu.
Waktu itu aku baru sahaja berumur sepuluh tahun, manakala abang masih berumur empat belas tahun, Ashraf pula masih berada dalam kandungan ibu. Ketika ayah keluar kerja, ibu membawa aku ke sebuah kawasan sunyi sepi. Ibu telah menjual aku kepada kumpulan sindiket penjualan kanak-kanak dengan habuan RM100,000. Mujurlah ayah melihat sendiri tindakan jahat ibu lalu terus mendapatkan mereka. Malangnya, ayah dipukul dan disepak oleh mereka dengan kuat sehingga ayah mengalami luka yang banyak. Meskipun sudah tercedera, ayah erat memelukku. Tiba di rumah, ibu terkejut melihat keadaan ayah. Baju ayah basah disimbahi darahnya. Ibu bertambah terkejut tatkala matanya melirik ke arahku. Bermula dari situ, ayah dan ibu bertelagah di hadapanku dengan ayat-ayat cacian. Kata ibu, dia sengaja menjual aku supaya mendapat duit lebih. Dia tidak tahan dengan kehidupan yang serba daif lagi. Ayah berang lalu membuang duit kotor itu ke tempat pelupusan sampah.
″Aku sanggup mati kelaparan daripada makan duit yang kotor bernajis ini!″ tengking ayah.
Ketika itu pula, abang pulang dari sekolah. Seperti dirasuk syaitan, ibu mencapai pisau dan menghunuskannya ke leher abang.
″Apa kau dah gila? Jangan terlalu mengikut hawa nafsu sehingga mahu membunuh along pula!″ ayah berteriak membuatkan aku berasa gerun. Serentak itu, aku menangis sekuat hati.
″Biar aku bunuh kedua-dua budak ni! Semakin ramai penghuni rumah ni, semakin miskin kita, bang!″
″Biar kita kaya anak, jangan kaya harta. Turunkan pisau tu atau aku halau kau dari sini!″
Arahan ayah tidak diendahkan oleh ibu. Perlahan-lahan ibu membenamkan pisau ke leher abang sehingga jelas kelihatan jaluran darah mengalir dari leher abang. Ayah cepat-cepat menolak ibu. Tindakan ayah membuatkan ibu mengalami sakit hendak bersalin dan terpaksa melahirkan Ashraf dalam keadaan tidak cukup bulan. Sangkaan ayah, ibu tidak akan buat perangai lagi tetapi ternyata tidak. Ibu memukul aku bertubi-tubi sehingga aku tidak sedarkan diri. Di saat itulah ayah menceraikan ibu dengan talak tiga kerana bagi ayah, dia tidak sesekali mahu ibu kembali ke pangkuannya. Ayah menghalau ibu dan cekal membesarkan aku dan Ashraf ketika itu. Sebaik sahaja ayah menghabiskan ceritanya, abang menjerit ketakutan. Abang duduk berteleku di sudut tepi bilik wad. Wajahnya menjadi pucat seolah-olah bulan kesiangan. Barangkali abang terlalu trauma dengan peristiwa itu. Aku menenangkan abang dengan memeluknya. Di kala itulah baru kusedar, di leher abang ada kesan parut.
″Maafkan ayah. Ayah memang bapa yang gagal buat anak-anak ayah. Ayah memang tak berguna! Sepatutnya ayah memberikan kebahagiaan buat along, buat angah, buat adik-adik. Tapi ternyata ayah silap. Ayah seorang bapa yang teruk!″ ujar ayah. Dia mengusap-usap kepala Ashraf yang masih terlena.
″Tak ayah. Ayahlah bapa yang terbaik. Angah berjanji angah akan berusaha bersungguh-sungguh buat ayah. Angah berjanji akan mengubah kehidupan kita. Angah berjanji.″
Berkat usahaku, akhirnya berbalas. Keputusan SPMku sangat cemerlang sehingga melayakkan aku belajar di luar negara. Pada mulanya, aku tidak mahu kerana takut hendak berjauhan dengan keluarga tercintaku. Namun Cikgu Fatimah memujukku dan menanggung segala kos pembelajaranku di sana. Setiap bulan Cikgu Fatimah mengirim wang kepadaku dan sentiasa berpesan agar aku tidak melupakan budaya hormat-menghormati. Di sana, mahasiswa luar negara memandang rendah terhadap mahasiswa berhijab, tetapi aku tetap memakai tudung kerana tidak mahu terlupa akan agama dan tempat asalku. Segala puji bagi ALLAH, lima tahun aku merantau di luar negara dan selamat kembali ke Malaysia dengan memegang ijazah PhD dalam perubatan. Air mataku tertumpah tatkala ayah dan adik-beradikku sedang menungguku di kawasan penerbangan. Tidak terluah oleh kata-kata melainkan aku memeluk dan mencium ayah. Jiwaku teramat rindu akan ayah, abang, Ashraf dan Munirah. Kini, aku berjaya melunaskan hasrat abang dengan mendirikan sebuah hospital atas namaku sendiri.
Dengan wang yang ada, abang tanpa segan silu mengambil peperiksaan SPM dan melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka di Malaysia dalam jurusan sains perubatan. Akhirnya, cita-cita abang tercapai dan kini dia sudahpun menjadi doktor fisiologi di hospitalku sendiri. Dia sudah mempunyai rumah sendiri kerana mahu hidup  berdikari manakala aku masih lagi duduk bersama ayah dan adik-adikku. Dulu, aku ingin membeli sebuah banglo di lereng bukit, tetapi ayah melarang. Katanya, lebih baik hidup bersederhana daripada bermegah-megah dengan benda duniawi. Oleh itu, aku dan ayah serta adik-adikku hanya duduk di rumah teres berdekatan dengan hospital. Meskipun duduk di rumah murah, namun kehidupan kami sangat bahagia. Ashraf pula kini menjadi pelajar agama. Katanya, dia bercita-cita menjadi seorang pendakwah bebas seperti Ustaz Azhar Idrus. Aku bangga dengan cita-cita murni Ashraf. Lebih membanggakan tatkala melihat kejayaan Ashraf yang sering mendapat anugerah qari’ terbaik peringkat negeri kategori pelajar OKU. Memang tidak disangkal lagi dia gemar menghafal ayat suci Al-Quran sedari umur sepuluh tahun. Waktu itu, aku membeli Al-Quran baru buatnya. Munirah, adik comelku pula bersekolah di sekolah menengahku dahulu. Dia amat meminati sukan badminton dan menjadikan Lee Chong Wei sebagai idolanya. Aku sering menasihatinya agar tidak lupa akan pelajaran. Ayah pula kini semakin lemah. Dia tidak sekuat dahulu. Ayah hanya mampu duduk di kerusi roda untuk memudahkannya bergerak. Badannya mulai mengecut tetapi ketegasannya dalam mendidik anak-anak masih lagi belum padam. Berkali-kali aku dan abang bergaduh kerana berebut untuk menjaga ayah. Bukan kerana harta, bukan kerana wang. Cuma mahu membalas jasa ayah yang tidak jemu menjaga kami ketika kami hidup serba kekurangan itu. Namun, keputusan sudah dibuat apabila ayah mahu kami sama-sama duduk di bawah satu bumbung seperti dahulu.
Suatu hari, aku berjumpa dengan Cikgu Fatimah. Cikgu sudah meningkat usia dan diriku ini sudah tidak dikenali olehnya lagi. Aku tidak berkecil hati. Sebaliknya, aku memberi sedikit sumbangan kepadanya setelah mengetahui dia mengalami masalah kesihatan semenjak terjatuh dari tangga sekolah. Ibu pula, aku tidak lagi mengambil tahu. Biarlah dia dengan dunia sementaranya itu. Kini, aku berbangga kerana dapat membuktikan kepada semua bahawa orang miskin juga boleh berjaya sehingga ke menara gading. Aku berbangga kerana dapat membuktikan bahawa budak busuk seperti aku juga boleh cemerlang. Aku  berbangga kerana dapat membuktikan bahawa pengorbanan ayah dan abang terhadapku memberi kejayaan kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah. Segala puji bagi ALLAH, Tuhan semesta alam.




No comments: