Aku merupakan anak kepada seorang bapa
yang sangat tabah. Aku merupakan anak kepada seorang bapa yang sangat tegas.
Aku merupakan anak kepada seorang bapa yang bekerja sebagai buruh binaan. Aku
antara salah seorang anak kepada seorang bapa yang hanya memiliki empat orang
cahaya mata. Ini bermakna aku hanya mempunyai empat adik-beradik iaitu abang,
adik lelaki yang berumur tujuh tahun dan adik perempuanku yang paling comel dan
baru sahaja berumur empat tahun. Abangku bernama Fakhrul Iftah bin Muharam.
Adik lelakiku bernama Muhammad Ashraf Akmal bin Muharam manakala adik
perempuanku itu pula bernama Siti Munirah binti Abdullah. Munirah berbintikan
Abdullah kerana dia bukanlah adik kandungku.
Aku menemui Munirah di kawasan pelupusan
sampah beberapa tahun lalu. Ketika itu keadaannya masih berdarah dengan lilitan
tali pusat di lehernya. Lebih mengharukan aku tatkala melihat banyak semut api
menggigit-gigit kulitnya. Sewaktu aku membawa pulang Munirah, Ashraflah yang
paling gembira kerana sedari dulu lagi dia mahukan seorang adik. Namun hajatnya
tidak kesampaian kerana ibu secara tiba-tiba sahaja menghilangkan diri tanpa
berita. Sedari kecil lagi, aku memanggil bapaku dengan panggilan ayah. Bukan
setakat aku sahaja, malah abang dan adik-adikku juga begitu.
Kami hidup bersederhana tanpa ibu. Rumah
kami pula tidaklah sebesar rumah semua orang. Makanan yang kami kunyah juga
tidak sesedap makanan hidangan semua orang. Pakaian kami usahlah ambil tahu.
Kami mengutip semua pakaian kami di tempat pembuangan sampah. Kebetulan pula
kawasan sampah itu betul-betul berhadapan dengan rumah kami. Aku masih tidak
mengetahui ke manakah ibu berada. Setiap hari aku termenung ke luar jendela
dengan harapan agar ibu kembali ke rumah ini. Apabila aku bertanya kepada
abang, dia sekadar membisu. Aku takut untuk bertanyakan perihal ibu kepada
ayah. Pernah sekali Ashraf bertanya dimanakah ibu. Sebaik sahaja perkataan
‘ibu’ terpacul di bibir Ashraf, lantas ayah menampar pipinya sehingga Ashraf
tersungkur ke tanah.
″Jangan sesekali kau sebut nama ibu kau
depan ayah. Ayah tak suka!″ gertaknya dan sampai sekarang teriakan ayah
seolah-olah masih terngiang-ngiang dalam gegendang telingaku.
Pipi Ashraf ketika itu mengalami lebam
dan giginya hampir patah. Dia menangis sekuat hati di hadapan ayah, barangkali
meminta simpati. Namun, ayah tidak mengendahkan tangisan Ashraf malah ayah
terus keluar menjalani tanggungjawab sebagai buruh binaan. Ayah mencapai topi
keselamatan berwarna kuning dan kasut but lalu melangkah pergi tanpa sedikitpun
menoleh ke arah Ashraf tersedu-sedan didakapi kesedihan. Tiada sesiapa hendak
memujuk Ashraf agar meredakan ombak sedihnya melainkan aku. Harapkan abang aku
tidak mahu menyusahkan dia kerana dia pun sibuk bekerja. Abang merupakan anak
sulung dari keluarga serba daif ini. Bagiku abang merupakan abang yang terbaik
di dunia ini. Dia sanggup berhenti sekolah semata-mata kerana aku padahal
ketika itu adalah tahun buat dia menghadapi peperiksaan besar kali ketiga dalam
seumur hidupnya. Jika dihitung ke tahun ini, abang barangkali akan memasuki
universiti atau sudahpun bergraduasi manakala aku adalah pelajar tingkatan 5.
Abang pernah mengadu kepadaku bahawa dia
ternampak ayah sedang mengira dan membahagikan wang di halaman belakang rumah.
Katanya lagi, ayah sekadar mendapat empat keping duit not hijau kebiruan. Ayah
membahagikan duit itu kepada empat. Sekeping untuk duit poket aku dan abang
dalam sebulan. Sekeping lagi untuk membeli lampin dan susu tepung untuk Munirah.
Sekeping untuk membayar yuran persekolahan kami yang sudah berbulan-bulan tidak
dibayar manakala sekeping lagi untuk barang dapur selama sebulan. Bagiku duit
lima puluh ringgit tidak mencukupi buat aku dan abang untuk membeli makanan di
sekolah selama sebulan. Jika dibahagikan kepada 31 hari dan dibahagi lagi
kepada dua, kami sekadar membawa duit poket sekurang-kurangnya lapan puluh sen
setiap hari. Di kantin, makanan tidak dijual dengan harga lapan puluh sen
melainkan snek ringan. Jadi, setiap hari juga kami memakan makanan yang tidak
berkhasiat itu. Tambahan lagi aku mendapat empat bungkus snek dalam duit lapan
puluh sen itu. Sekurang-kurangnya dapat mengalas perutku sebelum belajar.
Kadang-kadang abang akan memberikan duit
poketnya kepadaku dengan alasan bahawa dia sudah kenyang. Aku tidak dapat
menolak pemberiannya kerana abang bertegas supaya aku perlu memakan makanan
yang berkhasiat. Meskipun abang berkata dia sudah kenyang, tetapi bagiku dia
sedang berbohong. Aku dapat mengagak sebenarnya dia lebih lapar daripadaku
melalui matanya yang berkaca. Namun, aku terpaksa akur dengan pemberian abang
kerana bimbang dia memarahiku. Pernah sekali abang pengsan ketika perhimpunan
pagi berlangsung. Selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan abang
mengalami gastrik yang sangat serius. Dia mahu aku merahsiakan masalah
kesihatannya kepada ayah tetapi segala-galanya sudah terlambat. Cikgu Fatimah
telah memberitahu ayah terlebih dahulu selepas doktor membuat pemeriksaan. Ayah
tergesa-gesa datang ke hospital dengan peluh yang membasahi baju koyaknya. Ayah
menghempas kuat pintu wad abang dengan mata berapi-api. Aku dan abang terpana
seketika kerana terperanjat dengan kehadiran ayah di hospital itu. Itulah kali
pertama aku lihat garis-garis marah pada wajah tua ayah. Umpama dirasuk hantu,
ayah menanggalkan tali pinggangnya lalu melibas ke badan abang berulang-ulang
kali. Aku memeluk lengan ayah dan menangis kerana tidak tahu hendak menenangkan
ayah yang makin berang. Cikgu Fatimah sekadar menolak bahu ayah dan abang.
″Aku dah beri duit kepada kau. Kenapa
kau tak nak beli makanan ha?! Tak cukupkah duit yang aku beri tu!″
″Ampunkan along, ayah! Ampunkan along!″
abang merintih kuat.
Namun, ayah masih menghayunkan tali pinggang
buruknya itu. Oleh kerana tidak tahan melihat abang merintih kesakitan, aku
terus melompat ke katil pesakit lalu memeluk abang. Dan kali ini aku pula yang
disebat oleh ayah. Belakangku terasa perit seolah-olah dicucur dengan besi
panas berulang-ulang kali.
″Aku berikan duit untuk kau berdua
makan. Bukannya simpan untuk biakkan duit!!″ ayah masih lagi membebel dan tidak
lekang melibas tali pinggangnya ke belakang badanku. Dalam beberapa minit
barulah ayah berhenti.
Ayah termengah-mengah lalu keluar dari
bilik wad sementara abang memelukku dengan linangan air mata. Sukar untukku
bernafas kerana dakapan abang terlalu erat. Namun, aku sedar membiarkan abang
memelukku kerana barangkali dia berasa serba salah.
″Apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa
ayah kamu berang sedangkan kamu sedang sakit? Cuba terangkan kepada cikgu.″
soal Cikgu Fatimah dengan roman muka yang penuh dengan tanda tanya.
Aku dan abang sekadar membisu seribu
bahasa. Terasa malu hendak menceritakan masalah kami.
″Kamu berdua tak ada duit untuk membeli
makanan masa rehatkah?″ duga Cikgu Fatimah. Aku mengangguk.
″Kalau macam tu, biar cikgu berikan
sedikit wang kepada kamu setiap hari. Pastikan kamu berdua makan makanan yang
seimbang. Jangan ikat perut hanya kerana duit. Lain kali minta pada cikgu ya.”
Cikgu Fatimah bercadang dengan senyuman manis.
Cadangan cikgu membuatkan jiwaku
dibungkus rasa segan. Beberapa kali abang menolak cadangan Cikgu Fatimah tetapi
Cikgu Fatimah masih dengan pendiriannya. Akhirnya, kami berdua terpaksa
bersetuju. Ini pun demi ayah juga. Setiap kali waktu rehat, aku terpaksa
menebalkan muka meminta duit kepada Cikgu Fatimah. Cikgu Fatimah akan
memberikan empat keping wang kertas berwarna biru dan memintaku untuk
memberikan separuh daripadanya kepada abang. Mukaku bagaikan disimbahi cat
merah tatkala ramai pelajar melihatku yang sering menadah tangan ke arah Cikgu
Fatimah.
″Tak malu. Dahlah baju compang-camping
papa kedana. Lepas tu minta sedekah pula kat Cikgu Fatimah. Tak malu betul.″
Aku dapat mendengar dengan jelas suara-suara
jahat sedang mengumpat tentangku. Aku sekadar memekakkan telinga dan
cepat-cepat pergi ke kelas tingkatan 5 Sains 1 untuk bertemu dengan abang.
Kusangka, hatiku sudah tabah mengharungi tohmahan manusia disekelilingku,
tetapi ternyata tidak. Sampai sahaja ke kelas abang, aku menangis teresak-esak.
″Kenapa menangis ni, angah?″ soal abang.
″Budak tingkatan empat kutuk angah
tadi.″ terangku dalam esakan tangis.
Sebaik sahaja aku memberitahu perihal
sebenar, abang menjadi marah lalu mencari budak yang ku katakan itu. Tidak ku
sangka abang membelasah budak itu sehingga mereka berdarah. Oleh kerana
tindakan abang melanggar peraturan sekolah, pengetua membuat keputusan untuk
memberhentikan persekolahan abang.
″Tuan tak sepatutnya membuat keputusan
begitu. Berilah peluang kepada Fakhrul. Dia pelajar cemerlang dan ada harapan
untuk mengharumkan nama sekolah kita.″ Cikgu Fatimah memujuk.
Pujukan cikgu tidak sedikitpun
mematahkan pendirian pengetua. Cikgu Fatimah terkilan dan dia tidak menyedari
air matanya telahpun membasahi pipi gebunya. Berbeza pula dengan abang, dia
lebih gembira. Sepatutnya, abang yang perlu menangisi keputusan itu.
″Along tak sepatutnya gembira.
Pelajarankan masa depan along? Kalau pengetua buang along dari sekolah, macam
mana dengan cita-cita along? Takkan along tak nak jadi seorang doktor?″ soalku
sengaja bermain psikologi dengan abang.
″Gembira. Along memang patut gembira
sebab ayah tak payah bayar yuran persekolahan along lagi. Biar ayah bayar yuran
angah jer.″ ujar abang. Senyumannya terukir pada bibir keringnya. Serta-merta
lesung pipit mula terbit di pipi kanannya. Aku kehilangan kata-kata. Hanya
mampu menangis dan memeluk abang dengan erat.
Sejak diberhentikan dari persekolahan,
abang bekerja sambilan sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran
terkenal di daerahku. Jarak antara rumahku dengan restoran itu tidaklah jauh,
antara 100 hingga 200 meter. Jadi, abang menggunakan nikmat kakinya dengan
berjalan ke sana. Upah abang tidak sebanyak mana, hanya sehari dua puluh
ringgit. Setiap kali mendapat upah, abang akan membeli baju untuk Munirah
kerana adik comelku itu hanya memakai baju singletku dari umur setahun
hinggalah sekarang. Baki duitnya akan disimpan dalam tabung buluhnya. Namun,
sangat berbeza dengan ayah. Tempat pekerjaan ayah sangat jauh. Disebabkan
terlalu jauh, ayah terpaksa bangun dalam pukul empat pagi padahal waktu ayah
habis kerja dalam pukul dua belas tengah malam. Sebenarnya, ayah membuat dua
kerja. Pada sebelah pagi hingga petang, ayah akan bekerja sebagai buruh binaan
di kawasan bangunan yang bakal menjadi tapak perniagaan. Sebelah malamnya pula,
ayah menjadi pembantu dalam tempat basuh kereta. Aku sendiri tertanya-tanya,
adakah ayah tidak berasa penat bekerja dalam dua pekerjaan. Oleh itu, aku
sengaja bangun dalam pukul tiga pagi untuk membuat sarapan buat ayah. Sarapan
kami tidak semewah semua orang. Aku hanya menggoreng ikan kering dan menanak
nasi diiringi kopi. Aku terpaksa membuat air kopi yang cair dan kurang manis
bagi menjimatkan serbuk kopi dan gula pasir memandangkan harga barangan runcit
semakin tinggi setiap hari. Mujurlah kedai runcit 1Malaysia tidak jauh dari
rumah kami. Dapatlah mengurangkan beban kewangan kami sedikit.
″Awalnya angah bangun.″ bahuku terhinjut
sedikit kerana terkejut mendengar sapaan ayah dari belakang. Ayah menggosok
perlahan matanya dengan jari. Lingkaran matanya yang sembab dan gelap jelas
menggambarkan bahawa ayah tidak cukup tidur, atau mungkin menangisi pemergian
ibu. Mungkin.
″Angah buatkan ayah sarapan. Bagi ayah
bertenaga sikit untuk bekerja. Barulah bos ayah sayang ayah.″ selorohku sambil
mendepakan tangan. Namun gurauanku tidak memecahkan tawa ayah. Ayah cuma
mendiamkan diri dan matanya menyoroti ke mataku. Seolah-olah sedang memikirkan
sesuatu.
″Alangkah bagusnya jika ibu kau berada
di sini lagi.″ secara tiba-tiba ayah mengungkapkan kata-kata.
Ayah tertunduk lalu menuju ke tandas
setelah mencapai tualanya. Aku terkesima. Inilah kali pertama aku mendengar
ayah menyebut perihal ibu. Ingin sahaja aku bertanya kepada ayah apakah
sebenarnya yang terjadi antara ayah dengan ibu. Kenapa ibu meninggalkan kami
anak-beranak? Bilakah ibu akan pulang kembali? Di manakah ibu sekarang? Adakah
ibu meninggalkan kami kerana melahirkan anak yang tempang seperti Ashraf?
Usai azan Subuh berkumandang, aku
mengejutkan abang dan Ashraf untuk solat berjemaah bersama-sama. Selalunya
abanglah yang akan menjadi imam. Ayah tidak sempat bersolat bersama-sama,
tetapi dia sering membawa sejadah buruk dalam beg plastiknya. Setelah menyembahkan
diri kepada ALLAH, abang akan menemaniku ke sekolah. Kami berjalan sejauh dua
kilometer dan kadang-kadang aku akan tiba di pintu pagar sekolah seminit
sebelum waktu perhimpunan.
″Belajar rajin-rajin. Angahlah harapan
along.″ pesan abang sebelum kukucup tangannya dan berlalu pergi.
Sebenarnya, aku sering ditimpa rasa malu
ketika bersekolah kerana penampilanku yang sangat selekeh. Baju kurung dan
tudungku lusuh kerana baju itulah kusarung sejak darjah enam lagi. Kain sekolah
biruku pula sangat banyak kesan jahitan dan tampalan kain perca. Kasutku usah
kukatakan. Kasutku seperti mulut harimau yang jelas menampakkan stoking
berlubangku. Beg sekolahku pula kukutip ditimbunan sampah dan bau busuk sampah
masih lagi terlekat pada beg itu. Jika penampilanku sudah seburuk ini, tidak
mustahil aku sering dihina dan dicaci. Aku masih ingat lagi sewaktu cikgu
mengadakan eksperimen dalam subjek kimia. Salah seorang daripada kawan
sekelasku secara tidak sengaja membuka botol ammonia. Habis seluruh ruang
makmal kimia berbau busuk yang bisa mengalahkan bau bangkai. Kami semua
termasuk cikgu keluar dari makmal itu.
″Yark! Busuknya bau ammonia tu!″ tegur
Mei Mei.
″Tapi aku rasa lagi busuk bau badan si
Aini tu.″ ujar Fadilah tanpa berlapik dan tanpa berlindung.
Aku berasa amat berkecil hati terhadap
kata-katanya. Bukan setakat Fadilah saja, malah semua pelajar di sekolah ini.
Pelbagai panggilan yang mereka berikan kepadaku. Perempuan sihir. Kerbau.
Lembu. Tahi tikus. Bermacam-macam lagi. Mereka akan menutup hidung apabila aku
berjalan di hadapan mereka.
″Woi, busuklah kau ni. Duduk kat sampah
ke? Anak dara apalah kau ni.″ sindir Halim, lelaki yang sangat kubenci dan
merupakan anak orang berada. Disebabkan mulut bangkai dialah, aku sering
menjadi bahan ketawa. Semenjak kami dari tingkatan satu lagi, dia mula mengusik
kasar terhadapku. Kalau dulu ada abang, aku boleh mengadu kepadanya dan
kebetulan Halim takut akan abang. Sejak abang tiada, Halim mula menunjukkan
belang jahatnya. Kadang kala semangatku menjunam ke bawah. Kadang kala aku
ingin berhenti sekolah seperti abang. Namun aku memegang kata-kata Cikgu
Fatimah, ″Cacian orang sebenarnya modal untuk kita teruskan berusaha dalam
mengecapi kejayaan.″ Selama ini, Cikgu Fatimahlah sumber inspirasiku dalam
terus berjuang dalam SPM. Dan aku sudah menganggap dia seperti ibu sendiri.
Habis sahaja waktu sekolah, aku terus berjalan
ke rumah. Tidak seperti pelajar-pelajar lain yang pulang lewat kerana ada
tuisyen. Selalunya, abang akan tiba ke rumah dulu sebelumku. Usai menyalin
pakaian, kami empat beradik menjamu selera bersama-sama. Lauk kami hanyalah
ikan kering, nasi, kicap dan ulam-ulaman. Ulaman itu bukanlah seperti ulam raja
dan ulam pegaga, tetapi ‘ulaman’ yang kupetik dibelakang rumah tanpa mengetahui
apa jenis pokok itu. Kadang-kadang sahaja abang membeli makanan kerana baginya,
dia mahu menyimpan wang untuk membetulkan rumah kami. Usai solat Zuhur, abang
akan menemaniku membuat kerja sekolah. Abang sering mengajarku mata pelajaran
yang amat senang baginya terutama sekali Fizik. Jika aku tidak mengalami
masalah ketika membuat kerja sekolah, abang akan beralih pula ke arah Ashraf.
Abang mengajar Ashraf huruf dan matematik. Apabila Munirah merengek, abang
melarangku untuk membancuh susu buatnya. Sebaliknya, abang sendiri membancuh
susu dan membelai Munirah seolah-olah Munirah adik kandung kami sendiri. Entah
mengapa aku berasa bangga memiliki abang yang penyayang sepertinya. Dengan
tangan mendukung Munirah, abang masih lagi mengajarku. Dia memaksaku untuk
berusaha lebih kerap terhadap subjek Bahasa Inggeris. Memang tidak disangkal
lagi subjek itu adalah subjek yang paling kubenci. Apabila aku mengutarakan
kebencianku, abang terus-menerus menghamburkan kata-kata marahnya.
″Bodoh! Bahasa Inggerislah penentuan
kejayaan kau. Kalau kau tak suka, lebih baik kau jangan berangan-angan untuk masuk universiti.″ abang
memberi amaran sambil mendukung Munirah.
Aku terkedu mendengar kata-kata abang
dan hampir dua minggu aku menimbang arahannya. Ternyata kata-kata abang ada
benarnya. Jadi, setiap minggu aku meminjam buku berkenaan Bahasa Inggeris di
perpustakaan. Setiap kali aku membaca ayat, setiap kali juga aku tidak lekang
membuka kamus dwibahasa. Aku mengaku bahawa aku amat lemah dalam menghafal ayat
Bahasa Inggeris, apatah lagi menggunakan grammar.
″Kau kena berusaha lagi. Jangan patah
semangat kerana ayah dan abang mengharapkan kau Aini.″ hatiku seperti berbisik
sesuatu yang memotivasikan diriku. Dengan semangat demi ayah, aku teruskan
usaha. Alhamdulillah hasilnya sangat memberangsangkan apabila peperiksaan
percubaanku mendapat B- dalam subjek itu. Meskipun tidak A+, tetapi aku amat
bersyukur dan berbangga dengan kejayaan yang diperolehi. Lebih mengujakan
apabila aku mendapat anugerah pelajar terbaik. Aku sangat gembira dan berharap
agar ayah hadir dalam majlis itu. Namun harapanku hanyalah sia-sia. Sehingga
majlis tamat pun, ayah tidak hadir juga. Perasaan kecewa membungkus jiwaku
ketika itu dan serta-merta jantungku seperti hampir berhenti berdetak apabila
Cikgu Fatimah tergesa-gesa mendapatkanku seraya berkata, ″Ayah kamu terlantar
di hospital!″ Tiada madah untukku luahkan melainkan berlari, berlari dan terus
berlari sambil memeluk piala yang disaluti emas. Air mataku sudah mulai
bercucuran dan melanggar semua orang yang menghalang laluanku. Akalku hanyalah
tertumpu kepada ayah. Belum selangkah aku keluar dari pintu pagar, Cikgu Fatimah
memegang tanganku dan secara automatik larianku terhenti.
″Biar cikgu tumpangkan kamu.″ ujar Cikgu
Fatimah lalu mengheretku ke kereta Vivanya tanpa menunggu keputusanku. Sampai
sahaja di hospital, mataku melilau-lilau mencari kelibat abang. Cikgu Fatimah
tertinggal di belakang dan makin hilang
dalam kerumunan manusia. Aku berasa bersalah kepadanya, tetapi aku perlu cepat.
Dari jauh aku sudah melihat Ashraf menangis teresak-esak manakala Munirah
terlena dalam dakapan abang. Abang pula sekadar membuat wajah biasa walaupun
aku tahu di hatinya berombak risau.
″Apa dah terjadi dengan ayah?″ soalku
kepada abang.
Abang menghela nafas panjang dan memberi
isyarat supaya aku duduk di kerusi. Ashraf terus menekup mukanya ke ribaku dan
dapat kurasakan air matanya telah membasahi baju sekolahku sekarang. Aku masih
lagi tertanya-tanya, kenapa ayah masuk hospital? Apakah yang telah berlaku? Ya
ALLAH, selamatkan ayahku.
″Ayah terjatuh ketika memanjat besi
konkrit. Kaki ayah patah, tapi…″ abang melepaskan batuknya lalu menyambung
bicara, ″Kos perubatan terlalu tinggi. Abang tak ada duit untuk membayar kos
itu.″
″Biar cikgu saja yang bayarkan.″ sekali
lagi Cikgu Fatimah mengutarakan cadangan yang membuatkan aku berasa segan buat
kali kedua. Segan sungguh meminta pertolongan dari orang lain. Cikgu Fatimah
telah banyak menolongku dari segi kewangan. Andai ditakdirkan aku sudah
berjaya, aku berjanji tidak akan melupakannya.
Sebulan ayah terlantar di hospital dan
sebulan juga abang menggantikan ayah dengan bekerja di tempat pembinaan
sementara waktu. Aku pula sudah kurang pergi ke sekolah kerana susah hati
meninggalkan Ashraf dan Munirah di rumah papan beratap zink karat ini. Aku
bimbang dengan keselamatan adik-adikku, memandangkan mereka masih lagi dalam
takuk yang belum matang pemikirannya. Lagipun kawasan rumahku terlalu banyak
anjing liar dan tikus berlegar-legar di kawasan perlupusan sampah itu. Sangat
berbahaya jika aku meninggalkan mereka berdua di rumah.
Dalam pukul empat petang, abang akan
pulang dari tapak pembinaan. Baju lusuhnya berdebu manakala mukanya dipenuhi
pepasir dan serbuk simen. Roman wajahnya jelas mempamerkan keletihan yang
melampau. Melihat keadaan abang sebegitu, aku tidak dapat membayangkan keadaan
ayah yang menghadapi pekerjaan itu setiap hari. Itu belum lagi ditambah dengan
pekerjaan malam ayah. Di kala ini, barulah aku menyedari betapa cekalnya ayah
mencari sesuap nasi buat kami anak-beranak. Setelah abang membersihkan diri,
kami selalunya akan pergi ke hospital dengan membawa bekal nasi dan ikan kering
buat ayah. Perjalanan kami terganggu kerana abang banyak berhenti dan mengurut
lututnya. Barangkali dia berasa sangat penat dan tidak sempat untuk melepaskan
lelahnya tadi. Sudah berkali-kali juga aku menyuruhnya agar berehat selama
sepuluh minit, tetapi kerana rengekan Munirah yang semakin menjadi-jadi, abang
menggagahi jua. Katanya, dia tidak mahu Munirah rimas di tengah-tengah mentari
panas.
Sampai sahaja di wad ayah, aku dan abang
tersentak dengan kehadiran seseorang. Ibu! Ibu cantik. Memakai baju
berkilau-kilauan dan lehernya dihiasi dengan rantai emas bermutu tinggi. Ibu
memandang kami berempat lalu terus berjalan merapati kami. Serta-merta Ashraf
menyorok ke belakangku manakala abang tiba-tiba sahaja berwajah pucat.
″Jangan! Along, angah! Bawa Ashraf
keluar!″ arah ayah yang masih terbaring di atas katil.
Pucat wajah abang tatkala melihat ibu
lalu terus merangkul tangan Ashraf dan berlari keluar dari wad ayah,
meninggalkan aku. Ibu menghamburkan kata-kata kesat dan merenung tajam ke
arahku. Waktu itu, aku seperti mahu memeluk ibu kerana aku terlalu rindukan
ibu, tetapi… PANGGG!!! Aku terjatuh bertelangkup sambil mengusap-usap pipi.
Pedihnya menyelirat sehingga ke otak.
″Kau ni memang menyusahkan aku! Kalaulah
aku dapat anak perempuan sial macam kau, dah lama aku bunuh kau lepas aku
lahirkan kau lagi, tahu! Lepas kau lahir, banyak benda malang yang terjadi!
Dengan adik kau yang tempang, dan aku yang bercerai dengan ayah kau pun
disebabkan kau!″ ibu menengking sambil menanggalkan tudungku. Ibu menarik
rambutku sehingga aku menjerit kesakitan. Ya ALLAH, apakah salahku terhadap
ibu?
″Sudahlah, Fauziah! Kau jangan salahkan
anak aku.″ ayah pula menengking.
″Kau dengan budak bawa malang ni sama
saja. Kalau diikutkan hati, aku tak ingin nak berkahwin dengan orang miskin
macam kau. Entah kenapalah aku ni terlalu bodoh kerana sanggup menjadi isteri
engkau!″
″Fauziah!″
″Aku bersyukur sangat bila kau
menceraikan aku dengan talak tiga. Tak perlulah aku kembali ke pangkuan kau
lagi. Dan lihat ni.″ ibu menayangkan gelang emasnya kepada ayah. ″Inilah
hasilnya lepas kau ceraikan aku. Aku menjadi kaya! Suami aku sekarang lebih
kaya daripada kau, miskin hina!″
″Fauziah!!″
PANGGG! Sekali lagi bunyi tamparan
bergema di bilik wad ayah. Ibu terdiam sambil mengusap pipinya seperti aku
mengusap pipiku. Ibu menoleh ke arahku dan terus berlalu pergi. Entah kenapa
perasaan rinduku semakin terhapus dengan simbahan kecewa. Kecewa dengan sikap
angkuh ibu yang terlalu mengagung-agungkan harta duniawi daripada kasih sayang
anaknya.
Tanpa kusedari, empangan kelopak mataku
digenangi air mata. Perlahan-lahan ayah mendekatiku dengan memakai topang
ketiak. Ayah memeluk bahuku sebelum mendamparkan kepalaku ke dadanya. Jari
jemarinya membelai lembut ke mahkotaku dan dapat kurasakan derasan nafasnya. Di
saat itulah kurasakan kasih sayang ayah menguasai perasaanku. Lantas kupeluk
badannya erat-erat. Kemesraan ayah dan anak disaksikan oleh abang, Ashraf dan
Munirah yang kembali semula ke bilik wad ayah setelah melihat kelibat ibu sudah
tiada.
″Ayah. Angah sayang ayah, angah sayang
along, angah sayang Ashraf, angah sayang Munirah, angah sayang ibu. Tapi kenapa
ibu benci angah?″ soalku dalam nada sedu.
″Disebabkan ibu benci angahlah, ayah
bercerai dengan ibu.″ terang ayah.
Dalam masa sejam ayah menceritakan
segala-galanya kepadaku. Abang cuma membatukan diri kerana dia memang tidak
mahu peristiwa lama itu menghantui fikirannya kembali. Ashraf sudahpun terlena
di atas katil ayah manakala Munirah masih lagi dibuai mimpi dalam dakapan
abang. Setelah ayah menerangkan satu persatu peristiwa lepas, aku terkejut bagaikan
tidak percaya dengan peristiwa hitam itu.
Waktu itu aku baru sahaja berumur
sepuluh tahun, manakala abang masih berumur empat belas tahun, Ashraf pula
masih berada dalam kandungan ibu. Ketika ayah keluar kerja, ibu membawa aku ke
sebuah kawasan sunyi sepi. Ibu telah menjual aku kepada kumpulan sindiket
penjualan kanak-kanak dengan habuan RM100,000. Mujurlah ayah melihat sendiri
tindakan jahat ibu lalu terus mendapatkan mereka. Malangnya, ayah dipukul dan
disepak oleh mereka dengan kuat sehingga ayah mengalami luka yang banyak.
Meskipun sudah tercedera, ayah erat memelukku. Tiba di rumah, ibu terkejut
melihat keadaan ayah. Baju ayah basah disimbahi darahnya. Ibu bertambah
terkejut tatkala matanya melirik ke arahku. Bermula dari situ, ayah dan ibu bertelagah
di hadapanku dengan ayat-ayat cacian. Kata ibu, dia sengaja menjual aku supaya
mendapat duit lebih. Dia tidak tahan dengan kehidupan yang serba daif lagi.
Ayah berang lalu membuang duit kotor itu ke tempat pelupusan sampah.
″Aku sanggup mati kelaparan daripada
makan duit yang kotor bernajis ini!″ tengking ayah.
Ketika itu pula, abang pulang dari
sekolah. Seperti dirasuk syaitan, ibu mencapai pisau dan menghunuskannya ke
leher abang.
″Apa kau dah gila? Jangan terlalu
mengikut hawa nafsu sehingga mahu membunuh along pula!″ ayah berteriak
membuatkan aku berasa gerun. Serentak itu, aku menangis sekuat hati.
″Biar aku bunuh kedua-dua budak ni!
Semakin ramai penghuni rumah ni, semakin miskin kita, bang!″
″Biar kita kaya anak, jangan kaya harta.
Turunkan pisau tu atau aku halau kau dari sini!″
Arahan ayah tidak diendahkan oleh ibu.
Perlahan-lahan ibu membenamkan pisau ke leher abang sehingga jelas kelihatan
jaluran darah mengalir dari leher abang. Ayah cepat-cepat menolak ibu. Tindakan
ayah membuatkan ibu mengalami sakit hendak bersalin dan terpaksa melahirkan
Ashraf dalam keadaan tidak cukup bulan. Sangkaan ayah, ibu tidak akan buat
perangai lagi tetapi ternyata tidak. Ibu memukul aku bertubi-tubi sehingga aku
tidak sedarkan diri. Di saat itulah ayah menceraikan ibu dengan talak tiga
kerana bagi ayah, dia tidak sesekali mahu ibu kembali ke pangkuannya. Ayah
menghalau ibu dan cekal membesarkan aku dan Ashraf ketika itu. Sebaik sahaja
ayah menghabiskan ceritanya, abang menjerit ketakutan. Abang duduk berteleku di
sudut tepi bilik wad. Wajahnya menjadi pucat seolah-olah bulan kesiangan.
Barangkali abang terlalu trauma dengan peristiwa itu. Aku menenangkan abang
dengan memeluknya. Di kala itulah baru kusedar, di leher abang ada kesan parut.
″Maafkan ayah. Ayah memang bapa yang
gagal buat anak-anak ayah. Ayah memang tak berguna! Sepatutnya ayah memberikan
kebahagiaan buat along, buat angah, buat adik-adik. Tapi ternyata ayah silap.
Ayah seorang bapa yang teruk!″ ujar ayah. Dia mengusap-usap kepala Ashraf yang
masih terlena.
″Tak ayah. Ayahlah bapa yang terbaik.
Angah berjanji angah akan berusaha bersungguh-sungguh buat ayah. Angah berjanji
akan mengubah kehidupan kita. Angah berjanji.″
Berkat usahaku, akhirnya berbalas.
Keputusan SPMku sangat cemerlang sehingga melayakkan aku belajar di luar
negara. Pada mulanya, aku tidak mahu kerana takut hendak berjauhan dengan
keluarga tercintaku. Namun Cikgu Fatimah memujukku dan menanggung segala kos
pembelajaranku di sana. Setiap bulan Cikgu Fatimah mengirim wang kepadaku dan
sentiasa berpesan agar aku tidak melupakan budaya hormat-menghormati. Di sana,
mahasiswa luar negara memandang rendah terhadap mahasiswa berhijab, tetapi aku
tetap memakai tudung kerana tidak mahu terlupa akan agama dan tempat asalku.
Segala puji bagi ALLAH, lima tahun aku merantau di luar negara dan selamat
kembali ke Malaysia dengan memegang ijazah PhD dalam perubatan. Air mataku
tertumpah tatkala ayah dan adik-beradikku sedang menungguku di kawasan
penerbangan. Tidak terluah oleh kata-kata melainkan aku memeluk dan mencium
ayah. Jiwaku teramat rindu akan ayah, abang, Ashraf dan Munirah. Kini, aku
berjaya melunaskan hasrat abang dengan mendirikan sebuah hospital atas namaku
sendiri.
Dengan wang yang ada, abang tanpa segan
silu mengambil peperiksaan SPM dan melanjutkan pelajaran ke universiti
terkemuka di Malaysia dalam jurusan sains perubatan. Akhirnya, cita-cita abang
tercapai dan kini dia sudahpun menjadi doktor fisiologi di hospitalku sendiri.
Dia sudah mempunyai rumah sendiri kerana mahu hidup berdikari manakala aku masih lagi duduk
bersama ayah dan adik-adikku. Dulu, aku ingin membeli sebuah banglo di lereng
bukit, tetapi ayah melarang. Katanya, lebih baik hidup bersederhana daripada
bermegah-megah dengan benda duniawi. Oleh itu, aku dan ayah serta adik-adikku
hanya duduk di rumah teres berdekatan dengan hospital. Meskipun duduk di rumah
murah, namun kehidupan kami sangat bahagia. Ashraf pula kini menjadi pelajar
agama. Katanya, dia bercita-cita menjadi seorang pendakwah bebas seperti Ustaz
Azhar Idrus. Aku bangga dengan cita-cita murni Ashraf. Lebih membanggakan
tatkala melihat kejayaan Ashraf yang sering mendapat anugerah qari’ terbaik
peringkat negeri kategori pelajar OKU. Memang tidak disangkal lagi dia gemar
menghafal ayat suci Al-Quran sedari umur sepuluh tahun. Waktu itu, aku membeli
Al-Quran baru buatnya. Munirah, adik comelku pula bersekolah di sekolah
menengahku dahulu. Dia amat meminati sukan badminton dan menjadikan Lee Chong
Wei sebagai idolanya. Aku sering menasihatinya agar tidak lupa akan pelajaran.
Ayah pula kini semakin lemah. Dia tidak sekuat dahulu. Ayah hanya mampu duduk
di kerusi roda untuk memudahkannya bergerak. Badannya mulai mengecut tetapi
ketegasannya dalam mendidik anak-anak masih lagi belum padam. Berkali-kali aku
dan abang bergaduh kerana berebut untuk menjaga ayah. Bukan kerana harta, bukan
kerana wang. Cuma mahu membalas jasa ayah yang tidak jemu menjaga kami ketika
kami hidup serba kekurangan itu. Namun, keputusan sudah dibuat apabila ayah
mahu kami sama-sama duduk di bawah satu bumbung seperti dahulu.
Suatu hari, aku berjumpa dengan Cikgu
Fatimah. Cikgu sudah meningkat usia dan diriku ini sudah tidak dikenali olehnya
lagi. Aku tidak berkecil hati. Sebaliknya, aku memberi sedikit sumbangan
kepadanya setelah mengetahui dia mengalami masalah kesihatan semenjak terjatuh
dari tangga sekolah. Ibu pula, aku tidak lagi mengambil tahu. Biarlah dia
dengan dunia sementaranya itu. Kini, aku berbangga kerana dapat membuktikan
kepada semua bahawa orang miskin juga boleh berjaya sehingga ke menara gading.
Aku berbangga kerana dapat membuktikan bahawa budak busuk seperti aku juga
boleh cemerlang. Aku berbangga kerana
dapat membuktikan bahawa pengorbanan ayah dan abang terhadapku memberi kejayaan
kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah. Segala puji bagi ALLAH, Tuhan semesta
alam.